Asmaul Husna

Pengikut

Jumaat, 11 Disember 2009

Tazkirah Remaja: Cuti cuti juga tapi jangan...

SEKARANG musim cuti sekolah. Anak remaja pasti gembira selepas penat belajar, tiba musim merehatkan minda. Kepada yang berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, lebih bermakna meraikan cuti. Kepada mereka yang menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pasti sedang bertungkus-lumus dan didoakan mereka melakukan yang terbaik.

Sesetengah ibu bapa mungkin sudah atau sedang merancang untuk memanfaatkan cuti yang panjang. Semoga perancangan digarap terbaik untuk anak-anak. Sebab anak aset paling berharga untuk keluarga, agama dan negara.

Manusia memang perlu didisiplinkan dengan sistem. Islam sendiri adalah satu sistem. Solat ialah satu sistem, puasa, zakat ada sistem tersendiri, apa lagi ibadat haji. Dengan amalan Islam, hidup kita lebih bersistematik.

Pada musim cuti sekolah ini, cuti cuti juga tetapi jangan sampai lupa sistem. Jika ketika bersekolah kita kena bangun awal sebab mahu ke sekolah. Dengan adanya sistem solat, walaupun musim cuti sekolah tetap kena bangun awal.

Janganlah mentang-mentang tidak bersekolah, solat Subuh menjadi Subuh gajah. Yang ini ibu bapa kena pastikan anak-anak bangun bersolat Subuh.

Begitu juga pelajar perempuan, mereka ke sekolah pakai tudung. Tutup aurat bukan kerana disiplin sekolah atau untuk kelihatan cantik menawan atau bersopan atau sebab orang lain memakainya tetapi mereka melakukan demikian disebabkan perintah Allah.

Begitu juga dengan waktu, jangan buang masa, sebab masa adalah kehidupan. Sebenarnya walaupun kita ada masa cuti dan berehat perlu diingat syaitan dan iblis serta konco-konconya tidak pernah berehat atau cuti. Makhluk ini tidak tidur malam, malah misinya tidak akan berhenti sehingga manusia tergoda dengan pujukannya.

Syaitan dari awal lagi mengisytiharkan perang dengan anak Adam untuk menyesatkannya selagi nyawa masih di badan.Cuti, cuti juga tetapi jangan sampai solat pun bercuti, tutup aurat cuti dan al-Quran pun cuti. Sebenarnya Allah memerintahkan kita mentaati-Nya supaya kita hidup bersistem dan Allah hendak menjanjikan syurga kepada kita.

Syaitan yang tidak pernah cuti itu akan terus menggoda kita supaya sama-sama menemaninya di neraka dan supaya kita hidup tidak berdisiplin.Apabila tidak mengikuti Islam kita tidak berdisiplin. Apabila tidak berdisiplin akan menjadi seperti Mat Rempit, bukan saja tidak berdisiplin di jalan raya, malah kadangkala mencabar undang-undang, menagih dadah dan apabila sudah tidak takut Tuhan, membujur lalu melintang patah.

Remaja Punk dan Black Metal sanggup makan tulang dan makanan buangan sedangkan yang baik mereka tinggalkan sebab sudah tiada disiplin. Semuanya bermula kerana tidak takut Allah. Apabila tidak takut, tiada disiplin.

Kepada ibu bapa, cuti-cuti juga, program pembangunan iman untuk anak-anak mesti masuk dalam agenda. Bawa anak-anak remaja mengerjakan solat berjemaah di masjid.Ajak mereka bersama mendengar kuliah yang tidak pernah lekang diadakan di masjid, malah mengaji al-Quran bersama sama ada pada awal pagi atau petang.

Hadiahlah mereka dengan buku-buku dan cerita bermanfaat. Hantar mereka ke kem motivasi untuk peningkatan sahsiah (peribadi), ajak menziarahi rumah anak yatim supaya timbul keinsafan, bawa mereka menziarahi sanak saudara untuk meningkatkan ukhuwah dan filem yang menginsafkan ditonton bersama.

Bagi masjid, rancanglah program yang efektif kepada masyarakat. Wang derma yang dihulurkan jemaah jangan hanya disimpan untuk pembelian cat dan pengindahan masjid semata-mata, tetapi sebaliknya pulangkan wang terbabit kepada jemaah dalam bentuk program dan pembangunan pendidikan.

Melalui program sebegini barulah jemaah berasa berbaloi dan akan menderma lagi, sesuai dengan hasrat negara membangunkan modal insan.

Cuti-cuti juga, beribadat jangan berhenti, taat jangan berkurang, kerja diteruskan, sebab di dunia tempat mencari bekalan. Bercuti dan berehat sebenarnya di syurga yang abadi.
Selamat bercuti!


Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Kata-Kata Bermakna