Asmaul Husna

Pengikut

Sabtu, 16 Januari 2010

Mencari Bahagia....




Alhamdulillah,syukur pada Mu Ya Allah..kerana masih mengizinkan diri ini terus mengecap nikmatMu yang melimpah ruah,yang tak terhitung dan tak terbalas oleh hambaMu yang dhoif ini..Moga Engkau sentiasa mengurniakan keampunan buat hambaMu ini...

KITA patut bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita ini di antara orang yang bahagia?
Mungkin ada di antara kita pada ketika ini memiliki harta yang melimpah ruah, tetapi tidak merasa bahagia. Ada pula yang memiliki kemasyhuran dan kedudukan yang tinggi, namun tidak pernah merasa bahagia. Ada juga di antara kita yang amat terhormat pada mata masyarakat dan menjadi tokoh terkemuka, tetapi itu pun tidak membuatnya bahagia. Ada juga yang cuba melancong ke luar negeri mengunjungi tempat-tempat yang indah tetapi nyata kebahagiaan itu tidak juga menggamitnya.

Kalau begitu, ternyata ukuran bahagia itu tidak terletak pada banyaknya harta, bukannya pada jawatan dan kedudukan, bukan juga pada ketokohan seseorang dan juga bukan dengan peluang melancong ke merata tempat. Lalu, di manakah kebahagiaan itu, dan bagaimana pula kita dapat mengecapinya ?

Sebenarnya, kebahagiaan adalah bila seseorang mampu melakukan sesuatu yang bermakna dan murni. Ia merupakan kekuatan batin yang memancarkan ketenangan dan kedamaian, merupakan kurniaan Allah s.w.t yang membuat jiwa lapang dan bergembira.

Bahagia adalah kejernihan hati, kebersihan amal perbuatan dan keelokan ruhani. Hal itu merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada siapa saja yang melakukan perbuatan terpuji.

Bahagia adalah rasa redha yang mendalam dan sikap qana’ah. Ia bukan barang dagangan yang mampu dibeli di pasar walau sekaya mana pun kita, tetapi merupakan kurniaan Allah s.w.t yang dianugerahkan kepada jiwa-jiwa yang terpilih.

Kebahagiaan itu adalah kelapangan jiwa; bahagia itu tatkala anda mampu membuat orang lain senang hati, menguntumkan senyum di wajah, dan anda merasa gembira bila dapat berbuat baik kepada sesama manusia dan merasa nikmat ketika anda mampu bersikap baik kepada mereka.

Kebahagiaan adalah membuang jauh segala fikiran dan pandangan negatif dan mengisinya dengan fikiran dan pandangan yang positif. Ia merupakan sebuah kekuatan yang mampu menghadapi berbagai tekanan dan mampu memecah kebuntuan tanpa diperkuda emosi.

Kebahagian itu ada pada ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh, ada dalam meninggalkan kebencian, kedengkian dan sikap tamak terhadap apa yang dimiliki orang lain.

Bahagia itu terdapat dalam zikir dan ingat kepada Allah s.w.t., syukur kepada-Nya dan memperelokkan ibadah kepada-Nya. Dan kebahagiaan hakiki adalah mendapat syurga dan terselamat dari api neraka.

Catatan-catatan ringkas tentang kebahagiaan:-

* Orang yang berbahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari orang lain dan orang yang celaka adalah orang yang dijadikan pelajaran oleh orang lain.
* Bahagia adalah jika anda senang untuk berbuat kebaikan, bukan dengan berbuat apa saja yang anda senang.
* Orang bahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari masa lalu dan berhati-hati terhadap dirinya. Orang celaka adalah orang yang mengumpulkan harta untuk orang lain dan bakhil untuk memberikan kebaikan walaupun kepada dirinya sendiri.
* Orang bahagia ialah yang mendapat pengajaran dari pengalaman lalu, bersemangat pada hari ini dan optimis tentang masa depan.
* Kebahagiaan itu diperolehi dengan menjaga lisan.
* Seseorang tidak akan mencapai kebahagiaan kecuali jika dia hidup merdeka, terbebas dari kongkongan syahwatnya serta mampu menahan hawa nafsunya.
* Kesungguhan anda dalam mencintai ketaatan, hati yang selalu anda hadapkan ke hadirat Allah s.w.t , dan hadirnya hati ketika sedang beribadah adalah tanda kebahagiaan.
* Kebahagiaan itu tidak boleh dibeli dengan harta walaupun ia sering dijual.

Petunjuk Kebahagiaan

Kebahagiaan memiliki tanda-tanda, sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebutkan tiga perkara iaitu:

Jika mendapat nikmat, dia bersyukur.
Jika mendapat ujian, dia bersabar.
Jika berbuat dosa, dia beristighfar
.

Semoga kita bersama-sama mengecapi kebahagiaan yang hakiki... InsyaAllah...

Isnin, 11 Januari 2010

Tajdid Iman: Perbanyak amalan wajib, sunat mantap kualiti iman.


Assalamualaikum Wrbt...

Alhamdulillah,di kesempatan kali ni nak masukkan entri yang dipetik dari blog akhi bujang susah.Entri ini sangat bermakna buatku,memberi peringatan yang sungguh mendalam,dek kealpaan diri.Marilah sama-sama kita menghayatinya.Moga kita sama-sama beroleh peringatan untuk kembali kepadaNya.

RAMAI hamba Allah yang mengeluh: “Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Sekejap kuat membara sengatan iman di hati, tetapi lama kelamaan pudar juga oleh sengatan syahwat yang berbisa. Jika dulu bersemangat mengkaji dan mengamalkan Islam, kini semangat itu menjadi surut disebabkan kesibukan dunia yang tak ada penghujungnya.

Begitulah keadaan hamba yang semakin tenggelam ke dasar lautan duniawi tanpa menyedari nafas imannya semakin lemah dan akan mati lemas akhirnya. Beruntunglah sesiapa yang mahu memperbaiki imannya, menjaga dan melindungi iman seperti dia melindungi hartanya atau popularitinya supaya tidak musnah.

Antara tanda punca kelemahan iman seorang hamba yang menyebabkan dia tersungkur di lembah dosa ialah:

# Ibadat tidak berkualiti. Sesiapa yang berasa dirinya jauh daripada Tuhannya, terseleweng daripada jalan-Nya ataupun berhenti terlalu lama dalam permainan nafsu syahwatnya, kembalilah semula ke jalan Allah supaya dia dicintai Allah.Bawalah dua bekalan asas iaitu ibadat wajib dan sunnah. Mungkin ketika iman lemah dia tidak sama sekali meninggalkan kewajipan tetapi ibadatnya itu kurang berkualiti dan sedikit jumlahnya. Padahal, iman diukur menurut amalan wajib dan sunat yang boleh melahirkan jiwa hamba dekat kepada Allah.Rasulullah SAW bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadat sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Hadis riwayat al-Bukhari). Ramai hamba Allah yang tertipu dengan amalannya sedangkan ia hanyalah umpama debu pada pandangan Allah.

# Hati yang tidak khusyuk. Awal kerosakan amal ialah hati yang tidak dapat menghadirkan khusyuk. Penyakit itu akan bertambah teruk apabila ia meninggalkan karat kemalasan ketika beribadat. Berjumpa dan berhubungan dengan Allah tanpa wujud perasaan seolah-olah kosong dan hampa. Dia melakukannya sekadar mendirikan kewajipan saja, tetapi tiada kemanisan ibadat.Khusyuk hanya diperoleh dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara melembutkan hati ialah dengan melemahkan nafsu. Sahabat membiasakan diri dengan sujud yang panjang pada akhir malam seperti mana sunnah yang diajarkan Rasulullah SAW.Baginda memanjangkan sujud dalam solat malamnya selama kurang lebih membaca lima puluh ayat al-Quran, begitu juga ketika rukuknya. Saat paling dekat seorang hamba kepada Allah ialah ketika dia sujud. Ia mampu melembutkan hati dan mengubat jiwa yang tenat tanpa iman.

# Berlebihan dengan perkara yang mubah. Bercuti boleh meredakan ketegangan, menjamu selera dan membeli-belah baik untuk mengubat kebosanan, memakai pakaian yang indah dan mahal tidak dilarang, membeli perhiasan dan apa yang menyukakan hati boleh melahirkan kesyukuran kepada nikmat Allah Taala.Akan tetapi, perkara sebegini kadang-kadang membuat kita leka. Jika berlebihan segala aktiviti untuk memanjakan diri, dibimbangi akan melemahkan semangat perjuangan. Mengaburkan mata dan hati yang celik dan akhirnya larut dalam kesibukan dunia hingga melupakan akhirat.

# Tidak menghadiri majlis ilmu. Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya, tidak jelas matlamat, arah dan tujuannya. Siapa dirinya, berasal dari manakah dia, mahu ke mana dan apa yang mahu dicapainya?Semua itu memerlukan jawapan yang pasti tetapi manusia yang lemah iman sudah kehilangan matlamat hidupnya. Untuk mendapatkan kembali pedoman hidupnya supaya tidak tersalah jalan, dia perlukan hidayah iaitu ilmu Allah.

# Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan berlebihan. Apabila iman menipis, lupa kepada Allah, akan lahirlah perasaan sedih, susah hati dan murung. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud: “Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.”Mengingati Allah maksudnya ingatan yang membawa kepada kegembiraan. Gembira dengan takdir-Nya, reda dengan jalan hidup yang dipilih untuknya, untung rugi harta, susah senang kehidupan kerana manusia lahir ke dunia dengan senario yang termaktub di Lauh Mahfuz.Setiap mukmin memiliki hati yang mampu berbisik mengenai keadaan imannya, siapakah yang paling mengetahui diri kita melainkan Allah Taala dan diri kita sendiri. - Dr Juanda Jaya.Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.

Khamis, 7 Januari 2010

Muhasabah Diri


Salam Ukhuwwah..

Sahabat2ku,marilah kita hayati sajak yang kupetik dari buku Bisikan Sirr karya Hj Ibrahim Mohamad.Moga ia menjadi muhasabah dan tazkirah diri menuju jalanNya..Sesungguhnya kehidupan ini banyak melalaikan diri yang alpa...Ya Rabb,,Ampunilah hambaMu ini...


Wahai diri

ingatlah setiap masa pada Allah

hingga terasa manis kalimah itu

apabila berdenyut di hati sanubarimu


Wahai diri

janganlah engkau lupa

setiap masa dan ketika dirimu akan

dikembalikan ke hadrat TuhanMu

sama ada engkau redha atau engkau tidak bersedia


Perbetulkan akal dan hatimu

kehidupan adalah persediaan

untuk menuju kematian

janganlah tertipu dengan dunia


Ya Tuhanku

akulah pengembara menuju cintaMu

tanpa ragu dan jemu

akan ku ketuk pintu rahsiaMu

agar tenggelam diriku di lautan wajahMu

Yang Maha Indah


Ya Tuhanku

akulah pengemis setiap masa

berdiri dengan penuh harapan di pintu

rahmatMu

perjalanan yang panjang ini

adalah suatu ujian padaku

sama ada langkahku pincang

atau langkahku terisi

dengan cinta Ilahi


Alangkah sukarnya dan berliku

perjalanan mencari hakikat diri

nafsu dan syaitan

akan berhemah berjuang

merosakkan dan melalaikan

daripada sampai ke penghujung


Rabu, 6 Januari 2010

La Tahzan...

Assalamualaikum wrbt...

Alhamdulillah,bersyukur padaMu Ilahi...di saat ini kumasih mampu mengecap nikmatMu yang pelbagai dan tidak terhingga,terasa diri begitu kerdil dan amat jauh sekali...namun langkah mesti terus diatur untuk meneruskan sisa hidup dengan penuh ketaqwaan kepadaMu..Moga kutemui jalanMu...bimbinglah hambaMu yang sentiasa alpa dan lalai ini...ya Allah!

Hari Ahad yang lepas,sempat jalan kat Plaza Angsana bersama ida( sahabat baikku kat JB ni )...Saja jalan2 cari barang-barang keperluan yang dah kehabisan stok..hehe,Ada satu kedai yang wajib ku kunjungi setiap kali ke sini..kedai buku BADAN..memang glamor kedai buku ini kat Plaza Angsana..time datang sini kumesti beli satu buku untuk dibaca dan dikhatamkan..kali ini kubeli buku LA TAHZAN( Jangan Bersedih ) karya Dr 'Aidh bin Abdullah al-Qarni..tapi dalam edisi terjemah..dulu time belajar ada baca jugak buku ini dalam bahasa Arab...tapi dah lama dulu..ni nak hangatkan balik..hehe..Buku ni sangat bagus..tak rugi membeli dan membacaya...sekurang-kurangnya menjadi penyejuk hati bagi jiwa yang gelisah dan huru-hara.



Kupetik sedikit dari muqaddimah buku ini...

Apabila dunia terasa sempit disebabkan himpitan persoalan hidup dan jiwa terasa seolah tertekan oleh bebanan kehidupan yang harus dipikul,mereka akan menyeru: "Ya Allah" ! Hanya kepadaNya sahaja yang layak dipanjatkan kalimah-kalimah yang indah,doa yang ikhlas,bisikan yang jujur,air mata yang menitis penuh keihlasan dan keinsafan dan ratapan derita yang membingungkan.

Allah: Sebaik-baik nama,susunan huruf yang paling indah,ungkapan yang paling tulus dan kata yang paling bernilai.

.....apakah kamu mengetahui ada sesuatu yang setara dengan Dia? (Maryam:65)

Allah: BagiNya segala kekayaan dan keabadian, kekuasaan, kekuatan, keagungan, kemampuan dan kebijaksanaan.

.....milik siapakah kekuasaan pada hari in?(Kekuasaan) hanyalah milik Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa.(Ghafir:16)

Allah: BagiNya kebijaksanaan, pertolongan, keringanan, bantuan, cinta dan kebaikan.

Apapun nikmat yang kalian terima,semuanya berasal dari Allah. (An-Nahl:53)

Allah: Sang Pemilik segala keagungan,kebesaran,kewibawaan dan keperkasaan.


Sekalipun kulukiskan keagunganMu

dalam goresan

sebagai tanda kesucian yang mempererat jiwa

Engkau tetap Yang Teragung

dan tempat segala yang bermakna

Ya Tuhan,hanya pada keagunganMu

segalanya terasa lapang.

Marilah kita kembali kepadaNya dengan jiwa yang bersih dan suci.Moga Engkau menerima amalanku yang teramat sedikit ini,,,teramat jauh Ya Allah,dibandingkan dengan rahmatMu yang melangit luas....Ya Allah!Ampunilah daku...


Isnin, 4 Januari 2010

2010 tiba jua....

Assalamualaikum wrbt...

Salam buat sahabat2 pengunjung blogku.Alhamdulillah malam ni barulah dapatku update blog..dah seminggu sejak tiba kat JB ni,tiba2 je broadbandku bermasalah..lansung xdapat nak connect..fikirku masalah line yang xok,puas dah cuba..akhirnya hari ini kucuba call pihak yang bertanggungjawab..hehe..atas panduan yang diberi,ku uninstall broadbandku,kemudian install semula..alhamdulillah dapat..seronoklah sebab baru dapat ziarah blog sahabat2,teman bloggerku dan dapat masukkan citerku yang biasa2 je ni..hehe..
Alhamdulillah,hari ini adalah hari pertama ku kembali bertugas setelah bercuti sebulan lebih..semangat pun dah kembali pulih sebab dah seminggu awal bertugas kat sekolah sebelum sesi 2010 bermula.Begitulah juga anak-anak didikku..Macam-macam gaya hari pertama persekolahan,terutama ibubapa yang anak-anaknya baru masuk alam persekolahan.Ada yang menjadi penunggu setia kepada anak-anak pada hari pertama..mungkin teruja sangat2,bimbang,gembira dan macam-macam perasaan kot.Entahlah ku tak dapat merasainya sebab belum bergelar ummi,ibu ataupun mama..hehe..Walauapapun,semoga diriku ini sentiasa ikhlas untuk mendidik generasi SKKP ini menjadi insan yang berilmu dan berakhlak serta berjaya dunia akhirat..Amin..Begitulah juga harapanku buat anak-anak didikku...semoga langkah kaki kalian ke sekolah penuh dengan semangat untuk menuntut ilmu.
Hehe,sebenarnya banyak kerja yang nak disiapkan esok,tapi sempat lagi masukkan citer ni,maklumlah seminggu sunyi sepi...
Pada 28 Dis 2009,sempat meraikan majlis perpisahan kak Hamema yang dapat bertukar ke Kedah..Tahniah,akhirnya dapat pulang ke kampung suami setelah 5 tahun bertugas di JB.Semoga lebih ceria,bersemangat dan gembira bertugas di sana.Selamat Maju Jaya buat kak Hamema...dan tak lupa meraikan Guru Besarku Pn Normah yang bertukar ke sekolah lain.Semoga beliau sentiasa dirahmati Allah...Di bawah kuabadikan kenangan terakhir bersama mereka...





Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu
Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu
Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Kata-Kata Bermakna